KISAH MARYAM BUKANLAH SEKADAR KISAH SEORANG IBU YANG MELAHIRKAN

KISAH MARYAM BUKANLAH SEKADAR KISAH SEORANG IBU YANG MELAHIRKAN…

Paparan al-Qur’an meluaskan ufuk tanggapan kita kepada salah seorang wanita terbaik Syurga ini. Sebenarnya, di sebalik kisah Maryam, tersembunyinya kisah …

…seorang hamba yang menyedari kepentingan nazar untuk doanya dimustajabkan…

…seorang isteri yang tinggi imannya kerana hasil didikan sang suami sebelum pemergiannya…

…seorang ibu yang berwawasan jauh dan mahukan anak tidak bermusuh dengan sesiapa melainkan syaitan…

…seorang guru yang belajar dari muridnya sendiri mengenai hakikat rezeki dari arah yang tidak diduga…

…seorang ayah yang tidak mahu berputus asa dari memperolehi anak yang mewarisi keilmuannya…

…seorang agamawan yang tidak sukakan persengketaan sesama agamawan lalu difikirkan jalan keluar darinya…

…seorang wali Allah yang ikhlas beribadah lalu diberikan Allah karamah yang menakjubkan…

…seorang wanita yang tegas memelihara maruah dirinya ketika diuji berhadapan seorang lelaki yang sempurna rupanya dan penampilan fizikalnya…

…seorang pencinta agama yang sanggup mati jika kewujudannya boleh menjadi sumber fitnah ke atas agamanya…

Siapakah “mereka” ini semua ?

Bacalah surah Ali Imran dan Maryam perlahan-lahan, pasti ditemui jawapan.

Tadaburlah ayat-ayat kisah Maryam, pasti ditemui dirimu dalam setiap kisah orang terdahulu.

Lahirkanlah lebih ramai “Zakir Naik” dari dalam rumahmu dan madrasah acuan kita sendiri.

Yang menguasai kisah-kisah al-Quran yang boleh dijadikan jambatan antara Islam dan Kristian-Yahudi, kisah-kisah al-Quran mengenai para Nabi dan Solehin yang turut sama diceritakan dalam Taurat dan Injil yang lebih awal diturunkan.

Kuasai fakta yang sahih dari al-Quran agar tersingkirlah tokok tambah yang batil. Sesungguhnya kisah-kisah al-Qur’an membenarkan kisah-kisah Taurat dan Injil yang asal.

Kuasailah bahasa Inggeris, pelajari ilmu penyampaian dan pidato, pelajari ilmu bahasa Arab untuk menyingkap yang tersirat dari yang tersurat, lalu sampaikanlah dengan santun dalam ketegasan.

Kita menerang, bukan menyerang.

Semoga ibrah dari kisah-kisah berkenaan masuk ke dalam hati mereka belum beriman, menjadilah ia pahala berterusan buat bekal kita kembali kepada Tuhan.

Ahsanal Qasas min Rabbika !

Syaari Ab Rahman
Bangi
21 Zulhijjah 1440 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started