
Setiap surah mempunyai keunikan identitinya tersendiri pada menjelaskan makna sebenar aqidah dan keberagamaan dalam kehidupan.
Awal Makkiah, pertengahan Makkiah dan akhir Makkiyah yang berbeza rentak tari perjuangan dakwah Nabi صلى الله عليه وسلم menyebabkan pendekatan surah berbeza, identiti surah berubah. Tiga belas tahun di Makkah, cuaca dakwah dan suhu kepanasan tentangan tidak sama dari semasa ke semasa.
Surah al-A’la memotivasikan Nabi SAW pada noktah kesempurnaan risalah yang diperjuangkannya. Usah pedulikan makar jahat kafir dan sibukkan diri dengan ucapan tasbih menyucikan-Nya. Makin besarkan jiwamu ketika makin sempit ruang dakwahmu.
Surah al-Ghashiyah hadir menggesa Nabi SAW selepas duduk dan sujud bertasbih agar bangun dengan beraninya, terus tegar menyampaikan berita-berita Akhirat. Dengan kekuatan tasbih sebelumnya tadi, Nabi SAW tidak akan terasa hati lagi dengan makin hamun yang dipanah kepada baginda.
Surah al-Fajr hadir pula mengumumkan kesudahan para penentang Nabi SAW adalah kesudahan kaum Aad, Thamud dan kaum Firaun dan kesudahan Nabi SAW dan pengikutnya pula adalah kesudahan yang baik-baik sahaja sebagaimana berlaku pada golongan النفس المطمئنة sebelumnya. Sejarah pasti berulang, tiada yang boleh melawan sunnatullah.
Maka, hendaklah Nabi SAW dan kita umatnya menerusi ketiga-tiga surah ini, kekal mengawal emosi dan diri kita di hadapan permainan licik musuh-musuh Islam zaman berzaman supaya dengan kawalan dan disiplin diri berkenaan, Allah akhirnya memberi kemenangan.
Leave a comment