
Al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk kepada seluruh manusia. Seperempat al-Qur’an pula adalah kisah-kisah yang asal usulnya dari masa lampau. Sebahagian kecil dari kisah-kisah itu pula adalah kisah para wanita, sama ada yang diredhai Allah atau sebaliknya dimurkai.
Ada kisah wanita yang dipaparkan dalam bentuk naratif, ada kisah wanita yang dipaparkan dalam bentuk dialog. Ada pula kisah wanita yang kelihatan berulang di beberapa surah, ada pula kisah wanita yang hanya disebut dalam satu surah dan tidak berulang sama sekali. Semuanya pendekatan kisah bersebab dan berhikmah kerana ia adalah Ahsan al-Qasas dari Allah Yang Maha Bijaksana.
Apa yang pasti, kisah-kisah al-Qur’an tidak sama dengan kisah-kisah yang dicatatkan manusia. Maha Suci Allah dari segala bentuk kekurangan dan persamaan dengan makhluk semasa menyampaikan kisah-kisah dalam al-Qur’an. Hanya dengan tafsir dan tadabbur yang mendalam, kesempurnaan kalam Allah SWT dan kemukjizatannya akan mampu disingkap.
Apa yang pasti, kisah-kisah wanita dalam al-Qur’an tidak pernah muncul hanya sebagai sebuah kisah yang berdiri sendiri. Setiap kisah sama ada membabitkan lelaki atau wanita berada dalam sebuah surah yang ada mukaddimah, isi-isi penting dan penutup. Kisah-kisah hanyalah salah satu unsur pendidikan isi-isi penting dari Allah kepada manusia. Muqaddimah dan penutup surah pula akan membesarkan Allah SWT kerana hanya Dia yang Maha Hidup ketika kisah-kisah dalam kitab-Nya membabitkan makhluk-makhluk yang telah meninggal dunia.
Pendekatan kisah adalah pendekatan paling berkesan untuk menyampaikan maksud utama dari sesebuah surah yang diturunkan. Manusia mana tidak sukakan cerita kerana yang menciptakan manusia jugalah yang menurunkan al-Qur’an dengan segala bentuk unsur pendidikan yang mengesankan jiwa.
Hendaklah pembaca al-Qur’an lelaki membaca kisah-kisah wanita dan hendaklah pembaca al-Qur’an wanita membaca kisah-kisah lelaki kerana kesemua kisah dalam al-Quran memberi petunjuk kepada kehidupan dan rawatan kepada segala penyakit kemanusiaan. Tiada faedah untuk bersikap memilih-milih kisah dalam al-Qur’an kerana lelaki dan wanita kedua-duanya diciptakan dari unsur tanah dan unsur ruh yang sama.
Kisah-kisah wanita dalam al-Qur’an dipersembahkan Allah SWT dengan segala keunikan dan hikmah yang tidak pernah berhenti kajian para ulama kepadanya.
Anda boleh memilih untuk melakukan dua bentuk tadabbur kepada kisah-kisah wanita dalam al-Qur’an.
Tadabbur bentuk pertama adalah merenung ibrah kisah kepada kehidupan.
Ia seperti kita membaca kisah isteri al-Aziz, namun yang kita fikirkan adalah adakah saya seorang yang curang kepada suami semasa ketiadaannya di rumah ?
Atau kita membaca kisah isteri Abu Lahab namun yang kita fikirkan adalah adakah kita juga seorang yang suka mengapi-apikan perbalahan dan kebencian ?
Atau kita membaca kisah kakak Musa namun yang kita fikirkan adalah adakah aku sepertinya pada bergegas mentaati perintah ibuku dan tahu menggembirakan hatinya yang berduka ?
Atau kita membaca kisah permaisuri Saba’, namun yang kita fikirkan adalah adakah aku seorang yang tahu menggunakan kekuasaan demi mencari kebenaran atau aku tumbang dengan pengaruh dan pengikut yang ramai ?
Tadabbur bentuk kedua pula adalah merenung hikmah susunan kisah wanita dalam sesebuah surah.
Tadabbur bentuk ini semenangnya sulit, namun ia menawarkan kemanisan yang tersendiri jika seseorang menemuinya dengan bimbingan guru dan petunjuk Allah.
Ia seperti memikirkan hikmah mengapa nama Maryam AS dalam surah al-Tahrim dinyatakan Maryam binti Imran sedangkan dalam surah Maryam sendiri hanya disebut nama Maryam ?
Atau mengapakah isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth diumumkan sebagai ahli Neraka dalam surah al-Tahrim sedangkan dalam surah yang lain mereka berdua hanya disebut sebagai termasuk dalam kalangan orang-orang yang terkena azab dunia ?
Mengapa dinamakan surah Ali Imran sedangkan kisah yang dipaparkan tiada kena mengena dengan Imran, bahkan yang dipaparkan adalah kisah isteri Imran yang mengandung dan melahirkan Maryam AS ?
Mengapa surah al-Anbiya, surah yang mengumumkan nama dan legasi sekian ramai para anbiya, tiba-tiba muncul nama Maryam di hujung senarai itu sedangkan beliau bukanlah Nabi atau Rasul ?
Mengapa isteri Nabi Ibrahim dirakamkan menepuk-nepuk wajahnya apabila diberitakan mendapat anak Nabi Ishak dalam surah al-Dhaziyat sedangkan dalam surah Hud beliau hanya digambarkan takjub dan hairan dengan berita berkenaan ?
Semoga Allah memandu perjalanan tadabbur kita kepada Kitab-Nya.
Syaari Ab Rahman
9 Zulkaedah 1440 H
Bangi
Leave a comment