
Surah al-Fath mendedahkan satu rahsia bahawa seseorang yang mampu bersabar untuk tidak membalas apa yang diperlakukan musuh sebenarnya sedang dikurniakan Allah nikmat ketenangan.
Itulah nikmat yang diturunkan dari langit menerusi tentera-tentera Allah yang tidak kelihatan iaitulah para Malaikat.
“Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi; dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” – Surah al-Fath (48), ayat 7
Kekadang Malaikat membantu di medan perang dengan memukul musuh. Kekadang Malaikat membantu di medan diplomasi dengan mendoakan kesabaran pejuang ke atas musuh-musuh mereka.
Akhirnya, Nabi mengekalkan ketenangan di hadapan karenah Suhail bin ‘Amr dan para Sahabat pula mampu mengekalkan ketenangan kepada Nabi mereka dengan tidak mengeluarkan perkataan-perkataan kurang baik atau bertindak luar batasan ketika menerima berita Nabi mereka menerima perjanjian Hudaibiyyah yang dilihat mereka sebagai “berat sebelah”.
Baiah al-Ridhwan bukan berlaku kerana semangat mahu membalas dendam atas (berita) kematian seorang Sahabat. Ia diiktiraf Allah kerana perjanjian ini adalah perjanjian untuk taat setia kepada Rasul, menahan tangan masing-masing dari bertindak dengan apa-apa tindakan balas tanpa izin Nabi dan bersedia menghadapi segala kemungkinan sama ada jihad atau berundur.
Sabar Nabi di Hudaibiyyah bukan dengan “dipukul pipi kanan, diberikan pula pipi kiri”. Sabar Nabi di Hudaibiyyah adalah menangguhkan kemarahan ke atas lawan dengan memikirkan adakah ada tindak balas lain yang kelak menukar lawan menjadi kawan. Dua tahun selepas itu, ia menjadi kenyataan.
Kekadang dalam kehidupan, kita sentiasa berdepan dengan perkara kurang menyenangkan. Anggaplah sahaja itulah “Hudaibiyyah” kehidupan kita. Seseorang yang mampu mengekalkan kesabaran dari mengeluarkan perkataan negatif mahupun menggerakkan tangan untuk bertindak negatif sebenarnya sedang diturunkan ke atasnya ketenangan dari pemilik tujuh petala langit.
“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” – Surah al-Fath (48), ayat 4
Syaari Ab Rahman
2 Zulkaedah 1440H
Rujukan :
Tafsir al-Maraghi
Leave a comment