TAFSIR MENURUT TURUTAN PENURUNAN : BUANG YANG KERUH, AMBIL YANG JERNIH

Alhamdulillah, di rak maktabah saya sudah ada Tafsir Ma’rij al-Tafakkur oleh Syekh Abdul Rahman Habannakah dan al-Tafsir al-Hadith oleh Syekh Azzah Darwazah. Banyak kebaikan apabila saya membaca Tafsir almarhum Habannakah dan kitab khasnya mengenai Qawaid Tadabbur khususnya ketika merujuk aspek kesatuan tema surah dan juga hikmah kepelbagaian qiraat pada menambah makna dan tadabbur pada sesuatu ayat. Namun demikian, kita perlu bersedia dengan satu hakikat bahawa para ulama yang soleh yang kita cintai keilmuan mereka ini adalah manusia yang tidak terlepas dari kesilapan dalam berijtihad.

Membincangkan mana turun dahulu dan mana turun kemudian sangatlah penting untuk menghargai hikmah pensyariatan sesuatu hukum dan hikmah pendidikan al-Quran secara beransur-ansur kepada generasi salaf al-soleh terdahulu. Bahkan saya teruja dan kagum dengan penulisan Qasas Qurani oleh Syekh Dr Fadhl Hasan Abbas kerana Syekh menyusun kisah setiap Nabi berdasarkan turutan penurunan surah untuk menjawab dakwaan orientalis kononnya kisah-kisah al-Quran berulang.

Namun demikian, menghasilkan tafsir 30 juzuk (Tafsir Habannakah terhenti setakat surah al-Baqarah, namun semua 86 surah Makkiah telah disempurnakan alMarhum) adalah satu perkara yang menuntut para pembacanya buang yang keruh, ambil yang jernih. Semoga Allah mengampunkan kesilapan ijtihad ulama kita lalu menggolongkan mereka dalam golongan ahli Syurga tertinggi dengan keampunan itu dan dengan jasa besar ilmu-ilmu mereka yang didasarkan pada ijtihad yang benar, insyaallah.

Syaari Ab Rahman
28 Syawal 1440 H
Bangi

Dr Taha Muhammad Faris dalam kitabnya setebal lebih 1000 halaman (diolah dari tesis kedoktorannya) bertajuk Tafasir al-Qur’an al-Karim Hasba Tartib al-Nuzul Dirasah wa Taqwim telah mengkaji empat karya tafsir yang menyusun surah-surah al-Qur’an menurut turutan penurunan kepada Nabi SAW. Karya tersebut adalah Al Tafsir al Hadith oleh Muhammad Azzah Darwazah, Bayan al Ma’ani oleh Abdul Qadir Malahuwish Al Ghazi Al ‘Ani ( عبد القادر ملا حويش آل غازي العاني ), Tafsir al Quran al Murattab oleh Dr As’ad Ali dan Ma’arij al Tafakkur wa Daqaiq al Tadabbur oleh Abdul Rahman Hassan Habannakah al-Maidani.

Beliau menegaskan kemunculan karya-karya tafsir dengan susunan mengikut turutan penurunan ini adalah suatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah keilmuan Islam, bertentangan dengan amalan jumhur para ulama tafsir dari dahulu hingga sekarang dan terkeluar dari ijmak ummah pada tertib mushaf yang tauqifi. Tertib ayat dalam surah adalah tauqifi berdasarkan ijmak para ulama. Tertib surah juga tauqifi berdasarkan pendapat majoriti ulama.

Dr Taha juga mendapati kesemua penulisan tafsir berdasarkan penurunan ini telah menghilangkan perbahasan penting mengenai ilmu Munasabat surah dan Nizham al-Quran. Beliau menjelaskan asal usul seruan kepada pentafsiran menurut turutan penurunan ini berasal dari puak Syiah Rafidhah yang mendakwa wujudnya mushaf al-Quran menurut turutan penurunan yang disimpan oleh Saidina Ali r.a.

Abu Bakar al-Baqilani (wafat 403 H) antara ulama terawal yang berusaha mendedahkan usaha mereka ini dalam kitabnya al-Intishar li al-Quran. Malangnya, seruan ini mendapat tempat dan semakin berkembang pada kurun ke 19 Masihi lalu menjadi senjata penting para orientalis mencemarkan kesucian Kitabullah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Dr Taha mencadangkan di penghujung tesis kedoktorannya pada tahun 2006 untuk mencegah fikrah dan pemikiran ini terus berkembang dan mendapat tempat di negara umat Islam adalah dengan menggiatkan aktiviti memperjelas sudut-sudut kemukjizatan gaya penyampaian al-Quran ( الإعجاز البياني ) dengan menekuni rahsia-rahsia susunan surah dan susunan ayat, mengeluarkan kesatuan tema setiap surah dalam al-Qur’an dan menggiatkan perbincangan ilmiah mengenai susunan dan Nizham al-Quran kerana pada ilmu inilah terhimpunnya segenap rahsia kehalusan bahasa al-Quran ( اللطائف القرآنية ).

Wallahu a’lam

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started