Terdapat perbezaan nama-nama Allah antara surah Hud dan surah al-Dzariyat ketika kedua-dua surah ini merakamkan ucapan Malaikat yang menyebut nama-nama Allah di sebalik perbuatan-Nya SWT memberikan anak kepada Nabi Ibrahim pada usia baginda dan isterinya sudah lanjut.
Kalimah Allah dengan sifat ( حَمِيدٌ مَّجِيدٌ ) dalam surah Hud bersesuaian dengan konteks dan tema surah Hud sendiri yang memberi penekanan kepada mengingat nikmat-nikmat Allah yang telah diberikan iaitu nikmat diutuskan para Rasul sebagai penyelamat akidah manusia.
Surah al-Dzariyat pula pada ayat 30 yang menyatakan ( الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ ) bersesuaian dengan konteks dan tema surah ini sendiri iaitu mensyukuri luasnya rezeqi yang telah ditentukan oleh Allah kepada manusia. Allah Maha Bijaksana pada setiap perbuatan-Nya seperti menetapkan waktu kelahiran Ishaq adalah pada usia isteri Nabi Ibrahim yang sudah lanjut dan mandul dan Allah Maha Mengetahui kadar, waktu dan tempat jatuhnya rezeqi seseorang tersebut.
Rujukan :
Tafsir Mafatih al-Ghayb
Al-Imam Fakhr al-Din al-Razi

Semoga anak-anak kita selepas menghafal nama-nama Allah SWT menerusi nasyid yang pelbagai, mereka mencari pula ayat manakah dalam al-Qur’an yang menyebut nama-nama Allah berkenaan.
Adakah ada kisah tertentu untuk menambah faham dan tadabbur kita pada indahnya nama-nama Allah di dalam al-Qur’an ?
Adakah ada cara yang lebih baik untuk mendekati dan mengenali sifat dan kekuasaan Allah lebih dari cara Allah SWT sendiri memperkenalkan diri-Nya ?
Syaari Ab Rahman
27 Syawal 1440 H
Bangi
Leave a comment