“Ustaz, kenapa penting tahu tema umum sebelum membaca dan memahami setiap ayat-ayatnya?”
Bayangkan anda perlu memasang semua komponen-komponen meja yang anda beli.

Perhatikan buku petunjuk yang pastinya disediakan bersama.
Apa yang tertera dahulu di halaman pertama sebelum halaman seterusnya memaparkan komponen-komponen kecil yang ada dan kaedah-kaedah pemasangan ?
Tertera terlebih dahulu gambar model penuh yang telah sempurna hasil kombinasi komponen-komponen yang telah dipasang.

Tertera atau tertulis dengan jelas model itu adalah meja, bukan almari atau kerusi.
Begin with the end in mind !
Pada waktu itu, semua komponen-komponen yang disediakan menjadi sangat bermakna bagi anda meskipun ia hanyalah skru kecil.


Mengapa ?
Kerana setiap komponen sekecil manapun ia ada fungsinya dan anda pasti tidak meremehkan setiap fungsi pada komponen berkenaan untuk membangunkan meja yang betul dan stabil sebagaimana model yang dipaparkan.
Itulah perumpamaan yang saya adaptasi dari tulisan Prof. Dr. Muhammad Abdullah Darraz dan ketahuilah bagi Allah SWT sentiasa ada perumpamaan yang lebih baik ( ولله المثل الأعلى )
انظر إلى الإنسان حين يزاول صناعة ما من صناعاته التركيبية. ألا تراه يبدأ عمله دائما بتعرف أجزاء المركب ومقوماته، والوقوف على عناصره ومتماته، قبل أن بيت الحكم في تحديد موقع كل جزء منها ؟ …
“Perhatikanlah apakah yang akan dilakukan oleh seseorang ketika dia ingin mengusahakan sesuatu alat yang memerlukan kepada beberapa bahagian dan komponen tertentu. Bukankah perkara pertama yang akan sentiasa dilakukan sebelum menetapkan posisi setiap satunya, mereka akan terlebih dahulu mengkaji bahagian dan komponen yang akan digunakan, bahkan mengenalpasti bahan serta alat tambahan bagi menghubungkan kesemua itu ? Bukankah semasa pemasangan, seseorang yang ingin melepasi beberapa langkah di hadapan, dia tidak boleh melangkah terus sebelum selesai langkah sebelumnya. Pernahkah anda menemui seseorang yang melalui jalan penuh kelam kabut ini berjaya sampai ke destinasi yang dituju dengan mudahnya tanpa sebarang kesulitan?” – Darraz, النبأ العظيم
Komponen-komponen yang terpisah pada awalnya itulah ibaratnya ayat-ayat Allah عز وجل yang turun terpisah-pisah, tidak mengikut turutan mushaf sekarang, turun sepanjang lebih 22 tahun mengikut peristiwa khusus dan cabaran tertentu yang dihadapi oleh Nabi صلى الله عليه وسلم.
Manakala model penuh itulah surah yang telah sempurna dalam mushaf al-Quran sekarang.
Manakala “almari” itulah nama dan dengan nama itu ia boleh mengisyaratkan pada “big picture” dan tema umum surah yang anda mahu capai.
Anda tahu dari awal apa arah tuju binaan yang anda akan bina dari satu komponen ke satu komponen, yang anda baca dari satu ayat ke ayat, dari satu kumpulan ayat kepada satu kumpulan ayat.
“Ustaz, apa karya-karya saya perlu baca untuk mengetahui tema umum sesuatu surah?”
“Rujukan utama yang disarankan bagi kategori tafsir maudhu’ie surah (yang memaparkan tema umum surah terlebih dahulu menurut pendapat ahli tafsir masing-masing) adalah Tafsir Mafatih al-Ghayb oleh al-Imam al-Razi, Tafsir al-Imam al-Biqaie iaitu Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayy wa al-Suwar dan Masaid al-Nazhar li al-Isyraf ‘ala Maqasid al-Suwar, al-Allamah al-Fairuzabadi iaitu kitab Bashair zawi al-Tamyiz fi Lathaif al-Kitab al-Aziz, Tafsir Fi Zhilal al-Qur’an karangan al-Allamah Syed Qutb, Tafsir Ibnu Asyur iaitu al-Tahrir wa al-Tanwir dan karya Nizham al-Qur’an oleh al-Allamah Abdul Hamid al-Farahi.” – Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi, al-Tafsir al-Maudhu’ie baina al-Nazhariyah wa al-Tathbiq dan Prof. Dr Mustafa Muslim, Mabahith Fi Al-Tafsir Al-Maudhu’i
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
15 Syawal 1440 H
Bangi
Leave a comment