DI SEBALIK 114 NAMA-NAMA SURAH

Satu karya yang baik dari Ustazah Bushra binti Talib dan penerbit Pacu Publishing. Sedap mata memandang bila membacanya kerana gabungan isi dan desain berwarna persembahan yang bagus.

Sangat membantu bagi orang awam – khususnya semasa Ramadhan kepada yang mahu khatam al-Quran – yang ingin mengetahui informasi asasi bagi setiap surah dan di mana duduknya ayat yang menyebut nama surah berkenaan dan adalah ada informasi atau kisah di sebalik nama surah berkenaan.

Bagus dan tidak rugi untuk rakan-rakan yang bukan dalam bidang al-Quran memilikinya, Insyaallah !

Namun demikian, bagi pelajar tafsir pula, mereka akan mendapati karya ini – kerana dinamakan Di Sebalik 114 NAMA-NAMA Surah – masih beberapa ruang untuk ditambahbaik bagi mereka yang “judge book by its cover” insyaallah.

Disebabkan buku ini ditajukkan ada kaitan dengan NAMA-NAMA, maka pelajar tafsir boleh membantu memantapkan buku ini dengan mengeluarkan jawapan kepada apa kaitan nama-nama surah dengan tema utama surah.

“Nama surah adalah tauqifi dari Allah SWT yang tiada campur tangan makhluk padanya. Itulah yang dinyatakan oleh al-Imam al-Zarkasyi, al-Imam al-Suyuthi, al-Imam al-Ashmuni dan Prof. Dr Fadhl Hassan Abbas. Maha Suci Allah dari perbuatan yang sia-sia termasuklah memberikan nama kepada sesuatu surah.” – Dr Umar Ali Hassan Arafat, دلالة الأسماء السور القرآنية على محاورها وموضوعاتها

Memang mencabar kerja menulis tema surah, apatah lagi mengaitkan dengan nama surah. Namun tidak sedikit karya-karya besar tafsir munasabah yang boleh dirujuk, dan tidak sedikit juga usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak di luar Malaysia hingga ada yang menerbitkan “central theme” surah berbentuk diagram dan gambar rajah berwarna.

Menghubungkan setiap topik kecil dengan matlamat umum surah sangat membantu masyarakat awam “get the point” dari setiap 114 surah.

Sebelum mereka dibawa pergi pada perbincangan tafsiran terperinci sama ada fiqah, sains, sejarah, metafora dan segala unsur terbitan dari tujuan penurunan surah, mereka dinyatakan terlebih dahulu matlamat besar surah. Apatah lagi jika mampu dikaitkan tema besar itu dengan nama surah.

“Antara yang telah dilakukan oleh mereka yang mengkaji hubungan antara ayat demi ayat ialah apabila mereka hanya melihat hubungan antara satu ayat dengan satu ayat dan tidak sebaliknya melihat kepada seluruh sistem yang terpakai pada keseluruhan ayat dalam surah berkenaan. Kegagalan menekuni kesatuan tema surah boleh menjauhkan seseorang dari keindahan yang menakjubkan dari surah berkenaan.” Almarhum Prof. Dr Abdullah Muhammad Darraz, كتاب “النبأ العظيم”

Ya benar, hikmah nama surah, hikmah susunan surah, hikmah awalan dan akhiran surah dan pelbagai isu ilmu Munasabah itu asasnya tadabbur yang ijtihadi, namun jika yang melakukannya para ulama tafsir, kemas pula pendalilannya dan tidak kelihatan dipaksa-paksakan, tidak pula bercanggah maknanya dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka ia wajarlah dikongsikan bersama.

“Tafsir bil al-Ra’yi yang terpuji itu apabila menepati syarat-syarat yang ditetapkan seperti tiadanya pertentangan dengan ayat-ayat Allah yang lain, tiadanya pertentangan dengan hadis-hadis yang sahih, tiadanya pertentangan dengan makna yang telah disepakati bahasa Arab, tidak mendokong pemikiran kuffar dan mazhab yang memusuhi Islam dan kaum Muslimin serta tidak mendakwa bahawasanya tafsirannya itulah makna sebenar ayat.” – Syekh Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi, “كتاب “تعريف الدارسين بمناهج المفسرين

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
14 Syawal 1440
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started