
Surah al-Qadar bukanlah hanya ayat ketiga.
Ia mempunyai lima ayat.
Kerana dua ayat sebelum dan dua ayat selepas itulah menjadikan pesan surah al-Qadar merentasi sempadan bulan Ramadhan.
Ayat pertama menjelaskan dari mana datangnya al-Quran. Dari tempat yang sangatlah tinggi.
Maka junjung tinggilah segala firman Tuhan dalam segenap kehidupan melebihi dari segala kepentingan.
Itulah pesan al-Qadar.
Ayat kedua menegaskan tiadanya pengetahuan Nabi صلى الله عليه وسلم mengenai hakikat malam al-Qadar melainkan apa yang diberitahu oleh Allah. Bukan malam al-Qadr sahaja dalam kategori وَمَا أَدْرَاكَ مَا dalam al-Quran.
Maka hargailah pemberitahuan Allah dan Rasul-Nya kemudian berhati-hati dengan sumber selainnya adalah sikap seorang mukmin dalam interaksinya dengan perkara ghaibiyyat.
Itulah pesan al-Qadar.
Ayat keempat mengenai turunnya Malaikat dan al-Ruh dengan segala taqdir yang telah ditetapkan.
Maka, kekalkanlah kesabaran dan keredhaan kepada Tuhan apabila diuji dengan taqdir keburukan. Jadilah insan yang mendapat bisikan yang baik dan doa berterusan dari para Malaikat ketika menghadapi kesusahan. أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Itulah pesan al-Qadar.
Ayat kelima mengenai waktu berakhirnya malam al-Qadar iaitu terbitnya fajar. Ayat pertama mengenai turunnya al-Quran di waktu malam dan ayat terakhir mengenai naiknya fajar dan bermulanya kehidupan.
Maka, mukmin meyakini bahawa al-Quran itu menerangi kegelapan hatinya dan mengeluarkannya dari kematian menuju kehidupan dengan al-Quran yang dibacakan pada waktu Fajar. إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا
Itulah pesan al-Qadar.
Hafallah ia dan peliharalah ia agar segala yang ditarbiyah dalam Ramadhan terpelihara selepas Ramadhan.
Syaari Ab Rahman
30 Ramadhan 1440 H
Leave a comment